Pernyataan Dasar Monetari

Embargo : Untuk siaran segera Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1800 pada Rabu, 26 Mei 2004
26 Mei 2004

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 7.6% pada suku pertama tahun 2004. Pertumbuhan ekonomi yang kukuh disokong oleh peningkatan permintaan sektor swasta yang lebih pesat yang didorong oleh permintaan penggunaan dan pelaburan, serta pertumbuhan eksport yang lebih memberangsangkan berikutan perkembangan yang mapan dalam aktiviti ekonomi global.

Prospek masa hadapan ekonomi Malaysia kekal menggalakkan. Perkembangan permintaan agregat domestik yang mapan dijangka terus diperkukuh oleh prestasi sektor eksport yang mantap. Di dalam negeri, keyakinan pengguna dan pelabur yang semakin meningkat serta pendapatan isi rumah dan sektor korporat yang semakin baik menandakan bahawa peningkatan dalam permintaan sektor swasta dapat dikekalkan.

Inflasi terus kekal rendah. Kadar inflasi, seperti yang diukur melalui Indeks Harga Pengguna, meningkat pada kadar 1% dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2004. Tekanan harga dalam negeri dijangka kekal rendah, berikutan pemulihan aktiviti pelaburan swasta yang dicerminkan oleh pengembangan kapasiti dalam sektor-sektor yang mengalami pertumbuhan yang tinggi. Yang penting, produktiviti yang lebih tinggi menyokong pertumbuhan dalam upah benar. Persaingan juga telah menyederhanakan tekanan harga.

Asas ekonomi yang kukuh akan terus memberi fleksibiliti untuk dasar monetari menyokong aktiviti ekonomi yang lebih kukuh, tanpa mewujudkan tekanan inflasi. Kadar faedah berupaya untuk kekal rendah pada masa hadapan bagi menyokong momentum pertumbuhan. Dengan itu, kadar dasar semalaman (KDS) kekal tidak berubah pada kadar 2.70%.

Bank Negara Malaysia
26 Mei 2004

© Bank Negara Malaysia, 2004. All rights reserved.